Ombak : Penenang Qolbu




Kala hati menjadi gusar tidak tahu kenapa, akan ku jejakkan kaki menuju satu tempat yang sangat indah walau hanya biasa-biasa. Kini tempat itu sangat jauh untukku capai namun hanya dengan sekali pejaman mata aku sudah dapat membayangkan keseluruhan alam sekelilingnya melalui memori yang dirakamkan sang retina.

Pantai Tungku, pantai yang menjadi destinasi jika tertekan dengan kerja sekolah dan lainnya. Namun, tempat itu sangat jauh untukku gapai dengan kaki hatta tangan sekalipun. Subhannallah! Allahu Akbar! Allah Maha Besar. DiciptakanNya otak yang menyimpan sejuta memori yang sangat tiada had.

Apabila sampai saja, aku akan menjejakkan kaki mencari sebuah batu yang selesa untuk diduduki sambil merenung alam buana yang disimbahi cahaya matahari yang dalam sebentar waktu lagi akan tenggelam. Akan ku pejam mata seketika untuk menikmati irama ombak yang seakan-akan menari dengan sang angin yang tidak ternampakkan.

Pernah aku terfikir, si ombak itu kalau dibandingkan dengan manusia, sangat serabut perwatakannya. setiap masa akan ditolak oleh angin, dihempas ke batu yang keras, dilanggar kapal yang belayar di atasnya malah jika dirinya diselubungi angin kuat, ianya akan melompat tinggi dan menghempaskan diri sendiri di tengah lautan. Namun dirinya masih bisa mengeluarkan lagu yang membawa ketenangan untuk manusia yang mendengarnya.

Allah sendiri ada mengatakan di dalam Al-Quran, segala apa yang ada di muka bumi ini adalah Allah ciptakan untuk manusia berfikir.

"Kalau sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, niscaya akan engkau lihatlah gunung itu tunduk ter­pecah-belah disebabkan takut kepada Allah; dan perumpama­an-perumpamaan itu Kami perbuat untuk manusia supaya mereka berfikir"  [Al-Hasyr : 21]

Ombak akan sentiasa menjadi ubat penenangku. Kerana, ombak walau dilanda badai dugaan sekalipun ia akan tetap membunyikan irama lagu yang sangat mendamaikan kerana ia sangat patuh pada kehendak Allah. Di tolak ke sana ke mari malah di hempas ke batu dengan kuatnya, ia akan tetap mentaati kehendak Allah. Lalu kerana patuhnya pada Sang Pencipta, ia menjadi nadi penenang pada manusia yang mendambakan ketenangan daripada Nya jua.

Manusia juga seharusnya begitu. Walau dikerah keringat, walau  banyak dugaan menimpa, seharusnya lebih rapat dengan Allah untuk meminta kekuatan yang abadi serta ketenangan yang mendamaikan. Subhanallah! Lihatlah sekeliling, nescaya Allah itu sangat dekat.

'Rumah Sakit'

Micheal Buble - Home



Dilanda home sick yang teramat. Lagu ini akan saya dengar dalam keadaan homesick yang teramat sahaja. Walau saya berada dalam negeri sekalipun, home sick akan tetap melanda dan berada di sini juga sangat tidak terkecuali.

Biar lah kata-kata dalam lagu ini yang menghanyutkan rasa rindu ini ke seberang.

Mama Bapa,

Diri ini rindu yang teramat untuk mendengar celoteh dan ceramah. Rindu untuk ditegur, rindu untuk dimarah walau hakikatnya aku tidak suka mendengarnya.

Abang Kakak,

Walau hanya bercakar setiap kali bertembung, mereka lah tempat saya bergantung. Walau aku nampaknya seperti seorang yang boleh berdiri sendiri, tetapi mereka lah tempat saya bergantung apabila mereka berada berhampiran.

Angin, terbangkan rasa rindu ini kepada mereka.

Rabbi zidni waliwalidaiyya warhamkuma robbaya ni soghiro.

Mencari si Tenang


Mulanya satu perjalanan
Mencari secebis ketenangan
Dalam usaha mengurangkan kerinduan
Ku temu seluas keberkahan

Indahnya pencarian pengalaman
Dan memperdalam pengetahuan
Untuk menjadi bekalan
Di hari kemudian

Alhamdulillah, cuti pertengahan semester berlalu dengan cepat. Selama seminggu aku mengembara di bumi asing ini dalam ekspidisi pencarian pengalaman. Beberapa tempat menjadi pilihan termasuk Taman Negara Malaysia.

Walau hakikatnya kesemua haiwan di sana dapat di temui di negaraku sendiri.

Melaka juga menjadi destinasi pilihan. Aku hanya sekadar mengharapkan untuk mendapat pengalaman ataupun ilmu daripada ekspidisi ini walau jauh di sudut hati aku mahu mencari tempat untuk menenangkan fikiran dan mengurangkan kerinduan ku kepada keluarga yang jauh di sana.

Melaka mungkin terkenal dengan tempat-tempat bersejarah seperti peninggalan-peninggalan pemerintahan inggeris. Namun siapa dapat menebak, aku temui ketenangan luar biasa semasa percutian pendek ku di sana.



Masjid Selat Melaka 

"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." 
[Qof : 16]

Sungguh, Allah sangat dekat pada kita walau di mana kita berada. 

p/s: Homesick melanda!

Hadiah Teristimewa 2



Sungguh bertuah si 'manusia' apabila Allah menganugerahkan akal fikiran. Sungguh setia si 'manusia' apabila dia menggunakan akalnya di jalan yang betul dan sungguh ajaibnya si 'manusia' apabila dia merasakan akalnya itu anugerah dari Allah dan sentiasa menggunakannya untuk mengingat penciptanya.


"Dan sesungguhnya (Kami) ALLAH akan isikan dalam neraka jahanam itu sebahagian dari golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami ayat ayat ALLAH . Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat tanda-tanda kekuasaan ALLAH.Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ayat ayat dan nasihat ALLAH. Mereka tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang orang lalai." 
[Surah Al-A'araf : ayat 179]

Mata dan telinga sangat dekat dengan akal dan fikiran malah akal fikiran lah yang memberi kata putus untuk mengingat Allah atu tidak. Dan alangkah teruknya darjat yang Allah anugerahkan andai si 'manusia' tidak mempergunakan akal fikiran di jalan yang betul, iaitu kesesatan yang lebih dari haiwan peliharaan. Moga kita tidak tergolong dalam kelompok itu. Allahumma ameen.

Baru-baru ini, suatu perasan terselinap di hati membuatkanku tersentak di tengah sibuknya kota ini. Perasaan yang ku alami ini, homesickness, rimas dan sebagainya, terasa begitu besar impaknya pada masa hadapanku kelak. Kerana, kini ku sedar, kesemuanya itu sepatutnya dirasai oleh setiap manusia yang lahir ke dunia fana ini.

Kita berasal dari syurga kerana Nabi Adam datang dari syurga. Bukankah sepatutnya kita lebih merasa kerinduan untuk pulang ke kampung halaman kita?

Bukankan dunia ini ibarat negeri asing untuk kita? Memang layaklah diri ini digelar si 'musafir' di dunia ini dan seharusnyalah segala urusan di dunia harus ditunaikan dengan jujur dan amanah.

Dunia juga adalah sebuah negeri yang penuh dengan undang-undang dan peraturan. Allah sudah menetapkannya di dalam Al-Quran serta menghantarkan contoh terbaik iaitu Rasulullah untuk menyenangkan kita dalam melayari negeri asing ini. Hanya perlu menurut peraturan tersebut dan jangan melakukan apa yang dilarang. Senang bukan? Namun ianya tidak sesenang yang dijangka. Kerana itulah Allah menghantarkan ukhuwwah.

Berukhuwwah sangat menyenangkan, kerana kita dapat berjumpa dengan teman sekampung yang berasal dari Kampung Syurga. Ini adalah hadiah yang paling indah untuk kita Si Musafir di Negeri Fana ini. 

Sungguh apa yang ku rasakan sepanjang musafir ini begitu bermakna. Sandarkan segalanya hanya pada Allah setiap masa, bukan hanya pada masa kecederaan bahkan setiap saat yang tersisa ini.    








Hadiah Teristimewa 1




Alhamdulillah, sudah sebulan berada di negeri orang. Sungguh tidak terasa masa itu berlalu sungguh cepat tapi agak perlahan menurut perkiraanku. Rasa di dalam hati ini membuak-buak ingin pulang segera dan dalam masa sebulan yg telah berlalu ini dirasakan bergerak sangat perlahan. Namun ibrah yang diperoleh sangat menyedarkanku tentang kehidupan ini.

1) Homesickness

Walau sudah menghampiri 5 tahun hidup di asrama (2 tahun dalam pra universiti dan selebihnya di universiti) masih belum bisa menghakis perasaan rindu yang sangat kepada kampung halaman. Perasaan ini malah bertambah hebat getarannya apabila menjadi orang asing di bumi ini.

2) Rimas dan semua nak cepat

Ya! Rimas dengan sekeliling yang terasa sangat jauh dari keselesaan yang selalu dekat dengan diri di negeri asal. Semua urusan mesti dilakukan segera, tidak mahu tertinggal menguruskan sesuatu perkara yang boleh memudaratkan diri di kemudian hari. Rimasnya!

3) Mengikut peraturan

Apabila berada di negeri orang, tentulah kita akan secara automatiknya mengikut segala peraturan yang sudah ditentukan di negeri tersebut walau kita tidak menyukainya, kerana kita tahu kalau kita tidak menurutinya, banyak masalah akan timbul. Seperti urusan visa, dan sebagainya.

4) Berukhuwwah!

Ini adalah hadiah yang sangat berharga untuk si musafir di negeri asing. Terasa diri sangat berusaha untuk berukhuwwah dengan sesiapa. Perbezaan budaya, perbezaan bahasa hatta perbezaan bentuk dan rupa, membuatkan diri sangat menghargai segala bantuan yang diberikan. Kata orang, tak bertanya sesat jalan kan?

'Alaa kulli haal, Alhamdulillah semuanya dirasakan seperti teratur dan berjalan dengan selamat. Serasa seperti diperhatikan dari jauh.

Eh!

Tersedar diri dari lamunan sebentar. Memang pun diperhatikan. Bahkan 24 jam!

Bukankah Allah itu Maha Melihat, Maha Memerhati, dan Maha Dalam Pemerhatiannya.

Bersambung...




Bertatih untuk bertutur

Astaghfirullah astaghfirullah astaghfirullah.

Lidah lembut tidak bertulang
Tutur katanya jadi penawar atau bisa
Hidup ini satu peluang atau petualang
Mahu murkaNya atau redhaNya

Jauhkanlah Kami dari menuturkan perkataan yg sia-sia dan menyakiti yang lainnya Ya Rabb. Lapangkanlah dada ini untuk menerima segala pujukan serta penawar yg Engkau kirimkan melalui makhlukMu. Kau Maha Tahu segala yg tersurat dan tersirat.

Allahumma ameen

Simply 'Hope'

Aku selalu  ber'harap'.

Berharap pada manusia, diri sendiri, ibu, bapa, abang, kakak, teman, guru, lecturer dan sebagainya. Harapan agar semuanya bergerak sesuai dengan kemahuanku. Namun satu yang ku pelajari.

Tiada apa pun yang dapat menjanjikan seperti apa yang aku ingini. Tiada!

Aku juga selalu berhati-hati dalam menanam ketinggian harapan tersebut.

Apabila mengharap sesuatu, janganlah seperti burung yang terbang tinggi di udara, namun apabila terjadi sesuatu yang tidak disangka-sangka (terlanggar kapal terbang mungkin) burung tersebut akan jatuh menjunam ke bumi dengan pantas dan akan merasa sekurang-kurangnya kesakitan atau seteruk-teruknya kematian.

Itu adalah satu daripada ciri-ciri berhati-hati yang diterapkan oleh diriku.

Namun, dengan ke'berhati-hati'an yang ku terapkan, tetap juga diriku selalu tersungkur mencium bumi. Hampa terasa. Sakit. Parah. Berdarah.

Lalu ku semak kembali harapan itu.

Rupa-rupanya aku berharap kepada sesuatu atau seseorang yang hanya bersifat sementara.

Apabila bersandarkan pada sesuatu yang bersifat sementara, harapan tersebut pun akan bersifat sementara.

Apabila ianya musnah ditelan masa, maka harapan tersebut pun turut musnah bersama.

Lalu bagaimana untuk berharap tanpa merasa kecewa yang teramat?

Letakkanlah harapamu kepada yang bersifat kekal. Apa yg bersifat kekal di dunia ini?

"...dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga). (QS. Ali-imron: 14)
Hanya Allah lah satu-satunya yang bersifat kekal.

Maka sandarkanlah harapanmu pada Allah yang baqa, kerana Allah tidak akan pernah mengecewakanmu.




Muqaddimah

Bismillahirrahmaanirroheeem.

Assalaamualaikum Warahmatullah Wabarokatuh

Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah. Tiada kata yang dapat dikatakan kepada Nya melainkan segala pujian yang menggunung buat dzatNya yang banyak sekali menganugerahkan ni'mat yg tiada tara, melainkan hanya Dialah yang dapat memberi semuanya.

Ianya satu permulaan yang baru!

13 Januari, sangat banyak yang berlaku baru-baru ini. Sibuk? Tersangatlah sibuk hingga nak pecah kepala. Namun, syukur ku panjatkan pada Nya, diri ini masih bernafas di tahun baru 2013 ini. Sungguh tidak pernah diri ini terfikir akan dianugerahkan kehidupan di tahun 2013. Siapa yang boleh meramal akan keberadaanya pada tahun depan? Hatta esok hari pun tiada siapamyang tahu apa akan berlaku.

Sungguh semuanya adalah diluar jangkaan diri.

Jadi mari kita laungkan sejuta kesyukuran setiap hari.



Alhamdulillah

Praises be to Allah

Syukur Ya Allah

Terima Kasih Ya Allah


Bila kita merafakkan kesyukuran atas segala susah senang yang Allah hadiahkan, maka kitalah orang paling kaya di dunia insha Allah.

Jadi mari kita bersyukur dan rebut peluang untuk kaya!

Damai!