Hadiah Teristimewa 2



Sungguh bertuah si 'manusia' apabila Allah menganugerahkan akal fikiran. Sungguh setia si 'manusia' apabila dia menggunakan akalnya di jalan yang betul dan sungguh ajaibnya si 'manusia' apabila dia merasakan akalnya itu anugerah dari Allah dan sentiasa menggunakannya untuk mengingat penciptanya.


"Dan sesungguhnya (Kami) ALLAH akan isikan dalam neraka jahanam itu sebahagian dari golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami ayat ayat ALLAH . Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat tanda-tanda kekuasaan ALLAH.Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ayat ayat dan nasihat ALLAH. Mereka tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang orang lalai." 
[Surah Al-A'araf : ayat 179]

Mata dan telinga sangat dekat dengan akal dan fikiran malah akal fikiran lah yang memberi kata putus untuk mengingat Allah atu tidak. Dan alangkah teruknya darjat yang Allah anugerahkan andai si 'manusia' tidak mempergunakan akal fikiran di jalan yang betul, iaitu kesesatan yang lebih dari haiwan peliharaan. Moga kita tidak tergolong dalam kelompok itu. Allahumma ameen.

Baru-baru ini, suatu perasan terselinap di hati membuatkanku tersentak di tengah sibuknya kota ini. Perasaan yang ku alami ini, homesickness, rimas dan sebagainya, terasa begitu besar impaknya pada masa hadapanku kelak. Kerana, kini ku sedar, kesemuanya itu sepatutnya dirasai oleh setiap manusia yang lahir ke dunia fana ini.

Kita berasal dari syurga kerana Nabi Adam datang dari syurga. Bukankah sepatutnya kita lebih merasa kerinduan untuk pulang ke kampung halaman kita?

Bukankan dunia ini ibarat negeri asing untuk kita? Memang layaklah diri ini digelar si 'musafir' di dunia ini dan seharusnyalah segala urusan di dunia harus ditunaikan dengan jujur dan amanah.

Dunia juga adalah sebuah negeri yang penuh dengan undang-undang dan peraturan. Allah sudah menetapkannya di dalam Al-Quran serta menghantarkan contoh terbaik iaitu Rasulullah untuk menyenangkan kita dalam melayari negeri asing ini. Hanya perlu menurut peraturan tersebut dan jangan melakukan apa yang dilarang. Senang bukan? Namun ianya tidak sesenang yang dijangka. Kerana itulah Allah menghantarkan ukhuwwah.

Berukhuwwah sangat menyenangkan, kerana kita dapat berjumpa dengan teman sekampung yang berasal dari Kampung Syurga. Ini adalah hadiah yang paling indah untuk kita Si Musafir di Negeri Fana ini. 

Sungguh apa yang ku rasakan sepanjang musafir ini begitu bermakna. Sandarkan segalanya hanya pada Allah setiap masa, bukan hanya pada masa kecederaan bahkan setiap saat yang tersisa ini.    








Hadiah Teristimewa 1




Alhamdulillah, sudah sebulan berada di negeri orang. Sungguh tidak terasa masa itu berlalu sungguh cepat tapi agak perlahan menurut perkiraanku. Rasa di dalam hati ini membuak-buak ingin pulang segera dan dalam masa sebulan yg telah berlalu ini dirasakan bergerak sangat perlahan. Namun ibrah yang diperoleh sangat menyedarkanku tentang kehidupan ini.

1) Homesickness

Walau sudah menghampiri 5 tahun hidup di asrama (2 tahun dalam pra universiti dan selebihnya di universiti) masih belum bisa menghakis perasaan rindu yang sangat kepada kampung halaman. Perasaan ini malah bertambah hebat getarannya apabila menjadi orang asing di bumi ini.

2) Rimas dan semua nak cepat

Ya! Rimas dengan sekeliling yang terasa sangat jauh dari keselesaan yang selalu dekat dengan diri di negeri asal. Semua urusan mesti dilakukan segera, tidak mahu tertinggal menguruskan sesuatu perkara yang boleh memudaratkan diri di kemudian hari. Rimasnya!

3) Mengikut peraturan

Apabila berada di negeri orang, tentulah kita akan secara automatiknya mengikut segala peraturan yang sudah ditentukan di negeri tersebut walau kita tidak menyukainya, kerana kita tahu kalau kita tidak menurutinya, banyak masalah akan timbul. Seperti urusan visa, dan sebagainya.

4) Berukhuwwah!

Ini adalah hadiah yang sangat berharga untuk si musafir di negeri asing. Terasa diri sangat berusaha untuk berukhuwwah dengan sesiapa. Perbezaan budaya, perbezaan bahasa hatta perbezaan bentuk dan rupa, membuatkan diri sangat menghargai segala bantuan yang diberikan. Kata orang, tak bertanya sesat jalan kan?

'Alaa kulli haal, Alhamdulillah semuanya dirasakan seperti teratur dan berjalan dengan selamat. Serasa seperti diperhatikan dari jauh.

Eh!

Tersedar diri dari lamunan sebentar. Memang pun diperhatikan. Bahkan 24 jam!

Bukankah Allah itu Maha Melihat, Maha Memerhati, dan Maha Dalam Pemerhatiannya.

Bersambung...